Thursday, 18 July 2013

Kitab Cinta


‘’Cintaku buatmu bagaikan huruf-huruf yang terpatri di setiap helaian kitab.’’
‘’Cintaku buatmu bagai lautan air yang mengalir tanpa tepi.’’
‘’Cintaku buatmu seperti setianya sang awan kepada kekasihnya sang langit. Biarpun hujan mengguruh menimpa bumi, awan tetap dalam dakapan sang langit.’’

Kitab Cinta. Untaian kalimah cinta dari drama Kitab Cinta. Banyak pengajaran yang aku dapat dari filem yang dikatakan mirip kisah Nabi Yusuf dan Zulaikha ini. Watak seperti Wali, Mustika, Irfan, Kartika dan lain-lain seperti menggambarkan sebahagian perwatakan yang ada pada aku dan mereka disekeliling aku. Pertemuan Mustika dan Wali dirancang oleh Allah untuk menguji hati hamba Allah seperti Wali dan menjadi asbab kepada kembalinya Mustika kepada jalan yang benar. Aku terpegun dengan kesetiaan dan keikhlasan Irfan dalam mengorbankan hati dan perasaan untuk sahabatnya, Wali. Meskipun dia ada perasaan terhadapa Mustika, tapi dia tetap ikhlas membantu mempertemukan Mustika yang saat tu dibayangi kegilaan terhadap Wali, persis seperti kegilaan cinta Zulaikha terhadap Nabi Yusuf.

 Aku cuba memahami watak Wali yang sebenarnya. Seorang yang alim, kuat iman, bertanggungjawab, berpandangan jauh dan seorang pencinta yang setia kepada tuhan, rasul, ibubapa, sahabat dan juga kepada Mustika. Cinta kepada wanita tidak membutakan Wali kepada hakikat yang sebenarnya dia si miskin yang tidak setaraf untuk bersama Mustika. itu sebab utama kenapa Wali tidak ingin mengahwini Mustika. Pandangan aku melihat Wali tidak berusaha untuk majukan dirinya, mencukupkan diri untuk melayakkan diri bersama Mustika dan aku sedikit geram bila Wali sering melarikan diri dari masalah yang menimpa mereka. Pada mulanya aku fikir Wali agak lambat bertindak tapi sebenarnya dia seorang yang tidak berburu-buru dalam membuat keputusan.. Dia telah membuktikan yang dia menyayangi Mustika melebihi sayangnya kepada diri sendiri namun tidak menandingi sayangnya kepada tuhan.

Mustika, berhasil memainkan peranannya sepersis Zulaikha. Terlalu cinta kepada Wali sehingga sanggup pergi ke Acheh hanya berbekalkan sepucuk surat, seuntai puisi daripada Wali. Kadang-kadang geram juga dengan watak Mustika ni yang begitu terkejar-kejar cinta Wali, macam perigi cari timba, buta matanya dengan cinta, tapi akhirnya dia sedar juga hakikat yang dia tak boleh bersama Wali. Allah mengujinya dengan penyakit hati yang kronik sehingga dia memerlukan penderma hati yang baru. Pengajaran buatku, cinta jangan sampai meminggirkan kedua orang tua, sahabat sendiri dan berpada-padalah. J

Irfan, seorang sahabat yang setia. Pengorbanan dia kepada Wali dan Mustika bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng. Setia dan tidak khianat kepada Wali walaupun masa tu susahnya bagi Wali untuk faham bahawa seorang sahabat perlu setia berada disamping sahabatnya dalam menghadapi dan menyelesaikan masalah bersama-sama, bukannya lari dari sahabat dengan niat untuk menyelesaikan masalah. Aku belajar untuk menjadi sahabat yang setia J.

Kisah ni mengundang banyak persoalan. Begitu banyak watak baru yang muncul antara Wali, Mustika dan Irfan buat aku tertanya-tanya apa peranan Kartika, Karmila, Daniel dan Iqbal dalam hidup mereka.
Penamatnya, Mustika telah memiliki hati Wali sehingga nafas terakhirnya dan mungkin juga hingga syurga. Hati Wali mungkin tidak layak untuk bersama Mustika tapi bagaimana Mustika mahu menolak apabila hati Wali sudah berada dalam tubuhnya. Walaupun Wali tidak dapat bersama Mustika, tapi hati Wali akan tetap bersama Mustika selamanya. J

Cinta tidak semestinya memiliki.

Monday, 8 July 2013

Muslimat Akhlak Mahmudah..

Indahnya seorang muslimat sekiranya dia mampu menjaga dirinya dari pandangan mata lelaki. Muslimat yang menundukkan pandangannya dari memandang sesuatu yang tidak halal baginya. Allah, aku cuba menjadi seperti muslimat itu. Yang mana, dia seorang muslimat yang tidak memandang dan juga tidak dipandang, tidak menyebut dan juga tidak disebut, sewenang-wenangnya oleh lelaki yang tidak halal baginya. Sukarnya bagiku, Ya Robbi. Sukarnya menjadi muslimat berakhlak sebegitu. Muslimat yang digambarkan akhlaknya oleh Sayyidatina Aisyah R.A.
Aku menilai sebahagian sisi diri, dimana berlebihan dan berkurangannya. Aku mencari di mana kelebihan dan kekuatanku. Tidaklah kukatakan diri ini sempurna. Banyak cacat celanya. Aku belum mencapai akhlak seperti muslimat itu, tapi yang pasti aku akan terus mencuba dan mencuba mencapai targetku. Mohon kekuatan dari-Mu, Ya Rabb.

…………………………………………..

‘Si Dia’ Pasti Sepertiku..

Cuba untuk menjadi sesempurna hamba, meng’install’ akhlak mahmudah dalam diri, malahan aku  cuba untuk menjaga sekecil-kecil perkara yang dianggap enteng oleh sesetangah orang. Misalnya, aku tidak suka duduk di kerusi hadapan yang mana pemandunya lelaki ajnabi bagiku kerana hanya mahramku dan ‘si dia’ yang layak sahaja boleh duduk disamping. Aku tidak suka berseorangan dengan lelaki yang bukan mahram walaupun ditempat terbuka. Aku juga cuba mengelak daripada bergelak ketawa dengan lelaki bukan mahram tanpa sebab yang jelas, seperti juga aku tidak gemar ber’chating’ di FB maupun di Yahoo Mesenger tanpa keperluan dan tanpa adanya pemantau dan banyak lagi perkara yang aku cuba berpantang darinya.

Pasti ada yang tertanya-tanya, kenapa begitu bersusah payah menjaga diri walaupun perkara itu bukanlah maksiat yang sengaja dibuat dan kadang kala ia menjadi keperluan. Satu sahaja alasannya iaitu yakin bahawa ‘si dia’, bakal suamiku, yang masih menjadi rahsia Allah itu, tidak suka aku berkelakuan seperti itu sepertimana aku juga tidak suka sekiranya ‘si dia’ berkelakuan sebegitu dengan bukan mahramnya. Aku cemburu.

Perlu jelas akan percubaan ini. Aku masih berusaha menjadi sempurna walaupun mustahil dan aku yakin ‘si dia’ juga sedang berusaha sepertiku. Tidaklah aku mengharap dirinya sempurna melainkan dia turut berusaha menjadi sempurna. J
…………………………

Ada persoalan mahupun kritikan? Saya siap menerimanya. J